Monday, 30 June 2014

Kenaikan Kos Sara Hidup Gugat Kebahagiaan



Adakah kita telah mula merancang perbelanjaan ataupun kita mungkin tidak merancang apa-apa sekadar berbelanja sahaja mengikut kehendak hati sehingga ada yang sanggup berhutang demi memenuhi kepuasan hidup?


Kita sedia maklum apabila peningkatan kos sara hidup yang tidak selari dengan peningkatan pendapatan isi rumah sudah pasti mengurangkan pendapatan boleh belanja isi rumah dan disebabkan itulah ada yang terpaksa berhutang demi kelangsungan hidup.   Ada individu yang terpaksa mengambil jalan singkat dengan membuat pinjaman daripada institusi kewangan yang tidak berlesen bagi menampung ketidakcukupan pendapatan bulanan mereka. Malah ada yang sanggup berhutang dengan ceti haram. Walaupun ada yang tahu berhutang dengan individu yang tidak berlesen seperti ceti haram  atau ‘ah long’ akan terdedah kepada ancaman keselamatan diri dan keluarga jika tidak dijelaskan wang pinjaman dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.


Kos sara hidup yang meningkat ini juga mengundang pelbagai implikasi buruk kepada masyarakat terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah.  Akibat ketidakmampuan menjelaskan hutang menyebabkan ada antaranya berasa tertekan dan mengundang kepada simptom tekanan  yang memberi kesan kepada psikologi mereka.  Antaranya sukar untuk tidur, hilang selera makan, sakit kepala, bimbang, mudah marah dan sebagainya.  


Tidak terkecuali kesan kenaikan kos sara hidup turut mempengaruhi  aspek sosial.  Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan, maka individu tersebut terpaksa melakukan pekerjaan tambahan atau kerja sambilan bagi menampung keperluan perbelanjaan semasa yang tidak mencukupi.  Ada individu yang terpaksa melakukan dua kerja.  Pertama meneruskan pekerjaan hakiki mereka dan seterusnya melakukan kerja sambilan selepas tamat waktu bekerja. 


Disebabkan kesibukan bekerja, terutama dalam kalangan mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak, menyebabkan kekurangan masa berkualiti bersama yang akhirnya turut memberi kesan kepada institusi keluarga.  Sekiranya berterusan natijahnya membawa kepada pelbagai masalah sosial seperti perbalahan, penderaan, perceraian dan gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja mereka.  



Selain itu, kekurangan masa berehat menyebabkan individu terbabit mudah terdedah dengan pelbagai penyakit mental dan emosi serta tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja hakiki. Akhirnya ini akan memberi implikasi kepada produktiviti di tempat kerja. 



Justeru, masyarakat kita perlu dibantu terutama dalam menyediakan mekanisme yang bersesuaian dalam menghadapi ekonomi semasa.  Dalam masa yang sama masyarakat juga perlu bijak dalam mengatur perbelanjaan. Pendedahan tentang beberapa instrumen simpanan dan pelaburan untuk keperluan semasa dan kecemasan juga adalah perlu. 



Begitu juga diharapkan pihak-pihak tertentu dapat membantu dan menyediakan mekanisme bersesuaian untuk membantu golongan pengguna dalam menghadapi kelangsungan kehidupan seharian mereka.



Pemantauan tegas juga perlu diteruskan ke atas mana-mana pihak yang cuba menaikkan harga barangan tanpa sebab.  Pemantauan dan penguatkuasaan ini perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan hukuman tegas perlu diambil ke atas mereka yang sering mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati. 



Walaubagaimanapun, keadaan ekonomi semasa hendaklah ditangani oleh isi rumah dengan berbelanja secara berhemat. Jika ada lebihan pendapatan hendaklah disalurkan kepada tabungan. Buatlah perancangan yang baik dan teliti dengan berbelanja mengikut kemampuan bukan mengikut nafsu agar tidak terpalit dengan bebanan hutang yang boleh menggugat kebahagiaan keluarga.

Friday, 25 April 2014

Antara Kesan Sosial Akibat Kenaikan Kos Sara Hidup

1. Merenggangkan Hubungan Kekeluargaan 


Dewasa, ini hubungan kekeluargaan terutama di kawasan bandar tidak erat berbanding keluarga yang tinggal di kawasan pendalam. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa tidak rapat dengan anak-anak mereka kerana jarang meluangkan masa bersama mereka.

Kasihan anak-anak zaman ini. Ibu bapa terpaksa bekerja lebih masa untuk menanggung pakai makan dan kos pelajaran mereka. Di waktu pagi, ayah dan ibu bangun seawal 5.00 pagi. Si ibu menyediakan sarapan manakala si ayah menyediakan anak-anak untuk ke sekolah.

Kehidupan yang serba moden turut merenggangkan lagi hubungan kekeluargaan. Oleh itu, amat penting bagi masyarakat kita didedahkan dengan manfaat-manfaat mewujudkan perasaan kekeluargaan.


Lihatlah, bagaimana kenaikkan kos sara hidup merenggangkan hubungan keluarga. Ibu ayah terpaksa buat kerja lebih masa untuk menanggung keluarga. Akhirnya anak tidak terjaga dan mampu membawa kepada gejala sosial yang tidak kita duga.